TAHUKAH ANDA

“Glamping With Pride”… Pihak berkuasa pantau rapi aktiviti seks songsang

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan pihak berkuasa memantau rapi penganjuran program “Glamping With Pride” dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha atau pendekatan yang menormalisasikan perlakuan seks songsang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, perlakuan seks songsang jelas bercanggah dengan prinsip serta ajaran agama, di samping bertentangan dengan nilai akhlak, tamadun dan kerangka perundangan negara.

“Perbuatan sedemikian adalah satu kesalahan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk peruntukan Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Seksyen 25] serta Kanun Keseksaan [Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D] yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Sirajuddin menegaskan perkara itu sudah berada dalam pemantauan rapi oleh JAKIM bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penganjuran atau pelaksanaan program yang didapati bercanggah dengan ajaran Islam dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang yang sedang berkuat-kuasa,” katanya.

Beliau berkata, JAKIM akan terus melaksanakan peranan penerangan, pendidikan dan pencegahan kepada masyarakat, khususnya umat Islam di negara ini, agar tidak terpengaruh atau menormalisasikan perlakuan songsang sebagai satu gaya hidup.

“Semua pihak dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan menyerahkan sebarang isu berkaitan kepada pihak berkuasa agama Islam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Program ‘Glamping With Pride’ yang dijadualkan berlangsung di Hulu Langat, Selangor hujung minggu depan dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan sebagai platform untuk memberi tumpuan kepada isu kesihatan dan hak bagi lelaki gay, biseksual serta lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.-10/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button