KEMBARA

Kerajaan peruntuk tambahan RM5 juta kepada Zoo Negara

Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta bagi menambah baik pengurusan dan penyelenggaraan Zoo Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu diluluskan susulan prestasi membanggakan yang ditunjukkan oleh Zoo Negara, khususnya dalam usaha pemuliharaan hidupan liar serta peranannya sebagai tarikan pelancongan dan pusat pembelajaran untuk semua peringkat umur.

“Bila saya datang dulu, saya umumkan RM5 juta tahun lalu untuk memberikan kemudahan dan penyediaan tambahan di Zoo Negara ini.

“Tahun ini saya luluskan RM5 juta untuk pengurusan mereka dan penyelenggaraan kawasan,” jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara, Kuala Lumpur, sambil menekankan kepentingan zoo sebagai pusat pendidikan dan pendedahan mesra alam kepada pelajar sekolah.

Sebelumnya, Anwar memperkenalkan secara rasmi pasangan panda baharu, Chen Xing dan Xiao Yue kepada orang ramai.

Chen Xing, panda jantan yang membawa maksud “bintang yang bersinar”, dan Xiao Yue, panda betina yang bermaksud “bulan yang terang”, dihantar khas dari China sebagai simbol pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), pasangan panda itu tiba dari China pada 18 November 2025 dan telah menjalani tempoh kuarantin dengan menunjukkan tingkah laku normal serta aktif, menandakan tahap penyesuaian yang baik.

“Malaysia dan China memeterai perjanjian kerjasama pada 16 April 2025 semasa lawatan negara Presiden China, yang menyaksikan Malaysia menerima sepasang Giant Panda baharu untuk tempoh 10 tahun bermula 2025 hingga 2035,” menurut kenyataan NRES.

Kerjasama itu kata NRES dijalankan bersama PERHILITAN dan China Wildlife Conservation Association (CWCA) sebagai sebahagian daripada inisiatif konservasi antarabangsa China yang melibatkan 20 negara.

Dalam pada itu, Zoo Negara menawarkan potongan harga tiket 50 peratus kepada kanak-kanak selama dua minggu bermula hari ini sempena setiap musim perayaan utama, bagi menyemai kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

“Inisiatif ini juga menyokong usaha menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-10/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button