
Rasuah… Kerajaan ambil tindakan termasuk ‘ikan besar’ termasuk bekas PM dan menteri
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan akan terus mengambil tindakan terhadap ‘ikan besar’, termasuk bekas perdana menteri dan bekas menteri, dalam usaha membanteras rasuah.
Beliau berkata, rasuah bukan sahaja berleluasa, malah bersifat sistemik dan memerlukan usaha yang sangat besar serta berterusan untuk ditangani.
“Walaupun ada kejayaan, kita masih berdepan isu besar. Anda juga sedar bahawa dalam kalangan pemimpin politik, termasuk pembangkang, sokongan tidak begitu kuat.
“Setiap kali kerajaan menyentuh pemimpin besar atau tokoh korporat utama, akan ada suara yang mempertikaikan tindakan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pembukaan rasmi Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) di Zoo Negara, hari ini.
Anwar turut menegaskan beliau akan terus memantau Kabinet serta keseluruhan jentera kerajaan dengan sangat rapi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keperluan melaksanakan reformasi besar-besaran dalam pasukan pertahanan negara susulan siasatan kes rasuah membabitkan agensi berkenaan, Anwar berkata jika dibandingkan beberapa tahun lalu, tahap penguatkuasaan ketika ini adalah lebih berkesan dan membanggakan.
“Saya tidak mengatakan bahawa saya berpuas hati sepenuhnya. Tetapi saya memuji agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen dan lain-lain,” katanya.
Kelmarin, Majistret Ezrene Zakariah membenarkan SPRM menahan reman bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat.
Turut ditahan reman ialah isteri bekas panglima berkenaan yang direman selama enam hari bermula kelmarin hingga Selasa, manakala seorang lagi isterinya direman selama tiga hari sehingga Sabtu ini.
Media sebelum ini melaporkan terdapat beberapa individu lain yang dikenal pasti SPRM terbabit dalam kes rasuah yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan Tentera Darat.
Petunjuk terbaharu itu diperoleh menerusi siasatan agensi berkenaan terhadap beberapa projek tender perolehan TDM yang sedang giat dijalankan sejak beberapa minggu lalu.
SPRM turut menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan perolehan projek TDM.
Azam, ketika mengesahkan perkara itu, berkata satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan.-10/1/2026



