
Party Yeye… 20 pegawai TUDM dikenal pasti terlibat, berdepan tindakan
Siasatan awal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan seramai 20 pegawainya terlibat secara langsung dalam aktiviti tidak bermoral yang tular di media sosial baru-baru ini.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dalam satu kenyataannya berkata, semua pelaku akan dibicara dan diadili mengikut lunas dan peruntukan Perundangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“TUDM memandang serius sebarang perlanggaran terhadap Perintah, Direktif dan Peraturan serta tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” menurut kenyataan itu hari ini.
Beliau menegaskan bahawa budaya tidak sihat berkenaan sama sekali bukan amalan TUDM, serta tidak mencerminkan nilai disiplin dan profesionalisme angkatan tersebut.
“Pucuk pimpinan TUDM menzahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku, dan mana-mana pihak yang gagal melaksanakan arahan juga akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Pada Isnin lepas, Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengarahkan ATM menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kemasukan individu luar serta wujudnya aktiviti tidak bermoral di kem tentera, yang tular di media sosial sejak Ahad lepas.-10/1/2026



