
Suasana tidak menentu… tangguh lawatan ke Iran – Wisma Putra
Orang ramai dinasihatkan supaya menangguhkan sebarang perjalanan tidak penting ke Iran buat sementara waktu susulan kekacauan dan ketegangan yang berlaku di negara itu.
Pada masa sama, Kementerian Luar mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran berada dalam keadaan selamat.
Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memberitahu, pihak kedutaan juga sedang aktif menghubungi rakyat Malaysia di Iran bagi memastikan kesejahteraan serta menyampaikan maklumat terkini.
Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau sedang mengembara di kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada.
“Rakyat Malaysia juga dinasihat mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia juga amat digalakkan untuk mendaftar kehadiran mereka dengan kedutaan bagi memastikan komunikasi dapat dilakukan tepat pada masanya,” katanya dalam kenaytaan hari ini.
Bagi bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran melalui telefon +98 21 8807 2444 / +98 21 8807 8606 atau telefon bimbit +98 933 535 2602 serta e-mel ke mwtehran@kln.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com
Kedutaan Besar Malaysia di Tehran juga akan terus memantau rapat keadaan kekacauan berkenaan dengan demonstrasi kini merebak ke seluruh negara.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada Ahad memberi amaran kepada penunjuk perasaan melalui siaran langsung di televisyen kerajaan, menegaskan Iran tidak akan bertolak ansur dengan tindakan merosakkan harta benda.
Pihak keselamatan juga menyatakan niat mereka untuk bertindak tegas terhadap sebarang keganasan, sambil menekankan bahawa pegawai polis antara yang terkorban dalam rusuhan itu.
Keganasan dan rusuhan dilaporkan terus merebak, dengan internet disekat di kawasan yang luas, menyukarkan komunikasi dan liputan di lokasi kejadian.-12/1/2026



