TAHUKAH ANDA

Malaysia catat kadar pengangguran terendah dalam 11 tahun

Kadar pengangguran Malaysia bagi November 2025 menurun kepada 2.9 peratus, paras terendah dalam tempoh 11 tahun, menurut statistik Pasaran Buruh Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), semalam.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dalam satu kenyataan berkata, pencapaian itu mencerminkan pasaran buruh negara yang semakin stabil serta pemulihan ekonomi yang berterusan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

“Angka ini membuktikan pasaran buruh negara berada pada landasan yang kukuh, dengan lebih ramai rakyat berjaya memperoleh pekerjaan serta menikmati peluang pekerjaan yang stabil dan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata, bilangan guna tenaga meningkat kepada 17.09 juta orang, manakala nisbah guna tenaga kepada populasi mencatat 68.8 peratus, menunjukkan peningkatan penyertaan rakyat Malaysia dalam pasaran pekerjaan.

Menurutnya, kadar penyertaan tenaga buruh kekal kukuh pada 70.9 peratus, manakala pekerja bergaji merangkumi 74.8 peratus daripada keseluruhan guna tenaga.

Ia sekali gus menandakan pertambahan pekerjaan formal dan perlindungan sosial yang lebih baik.

Ramanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan terus memperkukuh agenda pekerjaan berkualiti melalui latihan, peningkatan kemahiran serta reformasi pasaran buruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai adalah inklusif, mampan dan berteraskan kebajikan rakyat.-12/1/2026 -BERNAMA

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button