
11 stesen minyak di Selatan Thailand dibom serentak… ini nasihat Wisma Putra
Sebanyak 11 buah stesen minyak di tiga Wilayah Selatan Thailand iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat, di sini digegarkan dengan letupan bom yang berlaku secara serentak pada awal pagi Ahad.
Serangan bom berlaku kira-kira pukul 1.04 pagi itu melibatkan lima stesen minyak PPT di Narathiwat, empat buah di Yala dan dua lagi stesen minyak di Pattani.
Pihak berkuasa percaya serangan terhadap semua stesen minyak itu melibatkan lebih 50 anggota kumpulan pemberontak yang lengkap bersenjata api.
Lima serangan bom di Narathiwat melibatkan stesen minyak PTT di Daerah Waeng, Cho Airong, Dusung Nyor, Chanae, Tanjong Mas dan Pase Mas di Sungai Golok.
Manakala empat letupan bom di Yala pula berlalu di empat stesen minyak iaitu Bannang Dama, Tha Saap, Bukehla dan Bannang Sata.
Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang terjejas secara langsung susulan serangan di Yala, Narathiwat dan Pattani, di selatan Thailand, pada awal pagi Ahad (11 Januari 2026).
Kementerian itu menerusi satu kenyataan menasihatkan, rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan berisiko tinggi.
“Selain itu, rakyat Malaysia diminta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan secara rapi dan akan menyalurkan makluman terkini sekiranya perlu.
“Orang ramai boleh menghubungi bantuan konsular Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian +(66) 74316274 atau +(66) 819901930 atau talian tambahan +(66) 74324004 atau +(66) 74312353 serta melalui e-mel di mwsongkhla@kln.gov.my.
Terdahulu media melaporkan, sebanyak 11 stesen minyak di tiga wilayah selatan Thailand diserang serentak dengan bahan letupan dalam satu perbuatan khianat pada awal pagi tadi.
Markas Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati serangan itu dilakukan oleh kumpulan bersenjata bertopeng yang menyasarkan lima stesen minyak PTT di Narathiwat, empat di Yala dan dua lagi di Pattani kira-kira pukul 1.10 pagi.-12/1/2026


