YANG VIRAL

Ekonomi MADANI pacu peluang pekerjaan berkualiti – PM Anwar

Kerajaan akan terus bekerja keras bagi memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih baik, pendapatan bermaruah dan masa depan lebih terjamin untuk rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan dalam Facebook memaklumkan, kadar pengangguran negara menurun ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun, setakat akhir tahun lepas.

“Pasaran buruh di pelbagai sektor pula kekal stabil, didukung kedudukan ekonomi yang semakin menggalakkan.

“Ini hasil usaha keras Kerajaan MADANI membina dan mengukuhkan semula asas negara sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Kadar pengangguran negara pada November 2025 dilaporkan mencatat penurunan ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun apabila berada pada 2.9 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, jumlah tenaga buruh meningkat 0.2 peratus kepada 17.61 juta orang pada November 2025 berbanding 17.58 juta orang pada Oktober 2025 manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus.

Beliau berkata sebanyak 74.8 peratus dikelaskan dalam kategori pekerja pada November 2025, merekodkan pertambahan sebanyak 0.1 peratus mencecah 12.78 juta orang berbanding 12.76 juta orang pada Oktober 2025 manakala bilangan penduduk bekerja sendiri turut meningkat 0.3 peratus kepada 3.26 juta orang, berbanding 3.25 juta orang pada bulan sebelumnya.

Bilangan guna tenaga dalam sektor perkhidmatan juga, katanya terus menunjukkan pertumbuhan yang stabil terutama dalam aktiviti kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial, perdagangan borong dan runcit, aktiviti penginapan serta perkhidmatan makanan dan minuman.

“Begitu juga sektor pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian turut mencatatkan peningkatan dalam guna tenaga,” katanya.

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja kurang dari 30 jam seminggu meningkat sebanyak 1.6 peratus kepada 237,000 orang pada November 2025 berbanding 233,200 orang pada Oktober 2025 manakala mereka yang bekerja kurang 30 jam seminggu serta mampu dan sanggup menerima tambahan jam bekerja merekodkan 129,900 orang berbanding 126,400 orang pada Oktober 2025.

“Oleh itu, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa meningkat kepada 0.8 peratus pada November 2025 berbanding 0.7 peratus pada Oktober 2025,” katanya. -12/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button