
Kerajaan Selangor diarah henti peruntuk dana awam untuk operasi ternak babi
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kerajaan negeri tidak menyediakan sebarang peruntukan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.
Istana Alam Shah memberitahu, baginda turut bertitah segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri.
Selain itu, baginda menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dan operasi sedia ada dihentikan secara beransur-ansur sebelum dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar.
Itu merupakan dua perkara ditetapkan susulan sesi menghadap bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
“Sultan Selangor telah meneliti secara mendalam perkara berkaitan pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di negeri Selangor, dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial.
“Sehubungan itu, baginda telah memperkenankan dan menetapkan beberapa ketetapan,” kata Istana Alam Shah dalam kenyataan, pada Isnin.
Manakala, satu lagi ketetapan adalah kajian terperinci serta bancian berasaskan data yang sah hendaklah dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor.
“Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.
“Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal,” katanya lagi.-13/1/2026



