
PETRONAS mohon penjelasan kawal selia petroleum di Sarawak
PETRONAS memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai terhadap operasi petroleum di Sarawak.
Permohonan itu menamakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak sebagai responden.
Menurut kenyataan PETRONAS, langkah tersebut bertujuan memastikan syarikat terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik.
“Permohonan ini tidak bertujuan mencabar aspirasi pembangunan Sarawak atau menghalang peranan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam sektor tenaga di negeri tersebut.
Keputusan memfailkan usul itu dibuat susulan perbincangan dan rundingan yang berlangsung sejak 2024 bersama Petros serta Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak,” menurut kenyataan PETRONAS.
PETRONAS turut memaklumkan, terdapat kemajuan dicapai dalam rundingan komersial dan perkongsian, termasuk pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (Commercial Settlement Agreement, CSA) pada 2020.
Bagaimanapun, masih terdapat perbezaan pandangan berhubung kerangka kawal selia yang terpakai kepada PETRONAS.
Sehubungan itu, PETRONAS berharap semua pihak menghormati proses perundangan dan peranan sistem kehakiman dalam meneliti perkara berkenaan.
“PETRONAS menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses perundangan dan memberi ruang kepada Mahkamah Persekutuan untuk membuat penilaian sewajarnya,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, PETRONAS menegaskan operasinya di Sarawak akan diteruskan seperti biasa.
Syarikat itu turut menegaskan untuk beroperasi secara telus, bertanggungjawab serta terus bekerjasama dengan masyarakat dan industri di Sarawak.
Komitmen itu bagi menyokong aspirasi pembangunan negeri dan memelihara kemakmuran Malaysia.-13/1/2026



