YANG VIRAL

PM arah gangguan teknikal di pintu masuk negara tidak berulang

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya insiden gangguan teknikal yang berlaku di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor baru-baru ini tidak berulang di mana-mana pintu masuk negara.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata arahan berkenaan dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam mesyuarat koordinasi berkaitan insiden tersebut, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata arahan telah dikeluarkan kepada semua komander, khususnya di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), supaya memantau secara rapi sistem kemasukan di pintu masuk negara berkenaan.

“Beliau (Menteri Dalam Negeri) memberi penekanan yang amat tinggi terhadap insiden ini kerana apa yang berlaku telah mendorong Perdana Menteri mengarahkan supaya perkara seumpama ini tidak berulang.

“Tambahan pula menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TM2026), saya secara peribadi telah mengarahkan semua komander, khususnya di BSI dan KSAB, supaya memaklumkan kepada ibu pejabat lebih awal sekiranya terdapat sebarang petanda sistem tidak berfungsi dengan baik,” katanya.

Dalam sidang media selepas majlis penyerahan watikah komander AKPS di sini hari ini, Mohd Shuhaily berkata ketetapan itu dibuat bagi membolehkan tindakan penyelesaian awal dilaksanakan segera.

“Sekiranya berlaku kegagalan sistem, komander perlu bertindak pantas bagi memudahkan pergerakan keluar masuk pengembara sebanyak mungkin.

“Jika sistem tidak berfungsi, proses perlu dijalankan secara manual dan sekiranya berlaku kekurangan petugas di kaunter, tindakan segera perlu diambil untuk memastikan kaunter berkenaan dapat dioperasikan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan puluhan ribu warga asing terkandas dan terpaksa beratur panjang di dua pintu masuk darat Malaysia-Singapura susulan gangguan teknikal yang menyebabkan kebanyakan pintu automatik imigresen tidak berfungsi pada Sabtu lepas.

Semalam, gangguan sistem eGate di BSI masih belum pulih, namun operasi kawalan sempadan kekal berjalan seperti biasa dengan implikasi terhad kepada pemegang pasport asing.-13/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button