
Festival Metalverse himpun peminat muzik metal dan punk di Megastar Arena KL
Festival muzik berskala antarabangsa, Metalverse, bakal mencuri tumpuan peminat muzik metal dan punk apabila berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur bermula 30 April hingga 1 Mei depan.
Festival anjuran Vox Nation Live itu diyakini akan menjadi platform eksklusif bagi meraikan budaya metal dan punk yang bukan sekadar sebuah genre muzik malah sebuah komuniti yang sarat dengan semangat kejujuran, tenaga dan kebersamaan dalam kalangan peminatnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang berkata Malaysia sebenarnya memiliki bakat muzik yang luas merentasi pelbagai genre, khususnya muzik rock yang disifatkan sebagai antara kekuatan utama artis tempatan.
“Malaysia mempunyai banyak bakat hebat merentasi pelbagai genre dan kebanyakannya sangat kuat dalam muzik rock. Band-band tempatan kita sangat berkualiti,” katanya pada sidang media penganjuran festival itu pada Isnin.
Menurut beliau, penganjuran Metalverse juga bertujuan memberi pengalaman konsert yang lebih menyeluruh kepada penonton tempatan apabila artis tempatan dan antarabangsa digabungkan pada satu pentas.
“Selama ini kita sering melihat konsert tempatan yang menampilkan artis tempatan sahaja tetapi kini tiba masanya untuk memberikan pengalaman yang lebih lengkap.
“Gabungan bakat tempatan bersama artis Barat seperti The Red Jumpsuit Apparatus dan The Used akan mewujudkan pengalaman luar biasa untuk keseluruhan spektrum peminat muzik di Malaysia,” katanya.
Setakat ini, enam artis antarabangsa telah disahkan menyertai festival tersebut, dengan barisan artis dipilih berdasarkan tiga prinsip utama iaitu relevan, impak persembahan pentas dan permintaan peminat.
Antara nama besar yang bakal menggegarkan pentas Metalverse termasuk Of Mice & Men dan Blessthefall, yang mewakili pelbagai cabang muzik berat moden serta terkenal dengan hubungan emosi yang kuat bersama peminat mereka.
Metalverse dijangka menjadi antara festival muzik paling dinanti peminat muzik keras di Malaysia, sekali gus memperkukuh kedudukan negara ini sebagai destinasi acara muzik antarabangsa di Asia Tenggara.-13/1/2026



