
Isu Grok: MCMC ambil tindakan undang-undang terhadap X
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap platform media sosial, X Corp (dahulunya Twitter) dan xAI LLC.
MCMC dalam kenyataan menegaskan tindakan itu berhubung kegagalan X memastikan keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan Grok.
Menurut MCMC, pihaknya telah melantik peguam cara dengan prosiding undang-undang akan dimulakan dalam masa terdekat.
Suruhanjaya itu memberitahu telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya.
“Ini termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.
“Kandungan yang didakwa melibatkan wanita dan kanak-kanak merupakan perkara yang amat membimbangkan.
“Perlakuan sedemikian menyalahi undang-undang Malaysia dan menjejaskan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh entiti berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, MCMC memberitahu, notis telah dikeluarkan kepada X Corp dan xAI LLC pada 3 serta 8 Januari lalu yang mengkehendaki penghapusan kandungan yang menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan pemulihan telah diambil oleh platform media sosial itu.
MCMC berkata, X Corp dan xAI LLC boleh dipertanggungjawabkan walaupun kandungan tersebut dijana oleh pengguna.
“Mereka kekal mempunyai kawalan terhadap reka bentuk, pelaksanaan, mekanisme penyeliaan serta langkah mitigasi risiko bagi Grok.
“Tanggungjawab tidak boleh diketepikan apabila perlindungan sistemik gagal berfungsi,” jelasnya.
MCMC juga mengambil maklum kegagalan X Corp dan xAI LLC untuk menguatkuasakan dasar serta kawalan dalaman mereka sendiri.
Jelasnya, kegagalan itu berkemungkinan telah memudahkan berlakunya aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia.
“MCMC kekal komited untuk menegakkan undang-undang Malaysia dan melindungi kepentingan awam.
“Semua platform digital yang beroperasi di Malaysia atau memberi kesan kepada Malaysia hendaklah mematuhi sepenuhnya semua keperluan undang-undang dan kawal selia yang berkenaan,” katanya.-14/1/2026



