
Reaksi orang bujang dapat ‘duit poket’ dari kerajaan MADANI… “bantuan sementara tunggu gaji”
Golongan bujang yang layak di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerima bantuan bulanan sehingga RM100 mengikut kelayakan masing-masing bermula hari ini.
Penyaluran SARA secara bulanan kepada 3.1 juta rakyat Malaysia dalam kategori bujang mampu membantu meringankan beban komitmen dan kos sara hidup rakyat.
Bantuan tersebut yang diagihkan mulai hari ini itu juga disifatkan tepat pada masanya tatkala memasuki tahun baharu.
Seorang penerima, Muharam Shah berkata, bantuan itu digunakan untuk membeli makanan dalam tin sebagai persediaan menjelang bulan Ramadan.
Bagi Mohamad Nabil Saffuan, bantuan tersebut dimanfaatkan untuk membeli barangan asas seperti tepung, telur, minyak masak dan beras bagi kegunaan keluarganya.
“Saya tinggal bersama ibu bapa dan adik-beradik. Bantuan ini sangat membantu dalam membeli barang makanan dan keperluan harian,” katanya.
Menurutnya walaupun nilainya tidak besar, bantuan tersebut memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan.
“Walaupun RM100, ia tetap membawa perbezaan. Kalau seminggu belanja RM300, sebahagiannya boleh ditampung dengan SARA. Terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin kepada semua golongan,” katanya.

Sementara itu, Nur Rasyidah menggunakan bantuan tersebut untuk membeli barangan dapur dan mandian seperti minyak masak, mi segera dan syampu.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu rakyat, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.
Bagi Muhammad Danial pula, bantuan itu sangat membantu terutama ketika menunggu gaji pada pertengahan atau hujung bulan.
“Jika boleh, saya harap jumlahnya dapat ditambah lagi,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan media memaklumkan, bantuan berkenaan memberi manfaat khususnya kepada golongan B40, miskin dan miskin tegar, selain kumpulan berpendapatan sederhana, terutamanya belia bujang yang sedang membina kerjaya dan kehidupan.
Menurut KBS, STR Kategori Bujang merupakan antara inisiatif utama kerajaan bagi meringankan beban kewangan rakyat serta memastikan golongan muda tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Bantuan ini amat bermakna kepada belia yang bekerja sendiri, berpendapatan rendah atau baru memulakan kerjaya, sekali gus membantu mereka memenuhi keperluan asas harian,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KBS menasihatkan penerima STR agar menguruskan bantuan yang diterima secara berhemah dengan mengutamakan perbelanjaan keperluan asas, mengelakkan pembaziran serta memanfaatkan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran diri.
Seramai 3.1 juta individu bujang berusia antara 21 hingga 59 tahun layak menerima Sara bulanan berdasarkan dua kategori iaitu RM50 melibatkan pendapatan sebulan RM2,500 dan ke bawah, manakala pendapat sama dengan penambahan sebagai penerima bantuan e-Kasih bakal mendapat RM100 yang akan dikreditkan ke dalam MyKad.
Penyaluran SARA bulanan untuk isi rumah dan warga emas telah mula disalurkan lebih awal iaitu pada Jumaat lalu, manakala untuk semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas bakal menerima bayaran secara one-off RM100 pada 9 Februari 2026.-17/1/2026



