
SARA beri nafas baharu kepada ekonomi tempatan
Kerajaan MADANI memulakan pembayaran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 3.1 juta individu bujang, yang dikreditkan terus ke dalam MyKad masing-masing bermula hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah penambahbaikan SARA digubal bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih tersusun, bersasar dan berterusan.
“Langkah ini bukan sekadar bantuan tunai, malah memberi nafas baharu kepada ekonomi tempatan dengan penyertaan 10,000 kedai kecil di seluruh negara” kata beliau menerusi satu kenyataan di laman Facebook.
Perdana Menteri menekankan bahawa inisiatif itu selaras dengan tekad Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat dan memastikan tiada yang tercicir atau terpinggir.
“Inilah semangat MADANI, kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, melangkah bersama membina masa depan negara berteraskan keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua” tambahnya.
SARA dijangka bukan sahaja membantu individu bujang menampung keperluan asas, tetapi juga menggerakkan ekonomi tempatan dengan dana berlegar di perniagaan kecil di bandar, pekan, dan desa.-17/1/2026



