
Ada yang tak beres… NGO Melayu tolak Sunway ambil alih IJM, mahu PMX campur tangan
Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menolak cadangan pengambilalihan dan pertukaran saham antara Sunway Berhad dan IJM Corporation Berhad kerana urus niaga ini merugikan kepentingan negara.
Urus niaga ini juga merendahkan nilai sebenar IJM, serta mengancam kedudukan ekuiti Bumiputera dan dana awam yang diamanahkan kepada institusi pelaburan milik rakyat.
Cadangan ini bukan sekadar transaksi korporat biasa, sebaliknya melibatkan pemindahan aset strategik negara menggunakan instrumen kewangan yang berisiko tinggi dan berpotensi menjejaskan kepentingan jutaan rakyat Malaysia.
Pada Januari 2026, Sunway mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela ke atas IJM bernilai kira-kira RM11 billion.
Transaksi itu melibatkan 10% bayaran tunai (RM0.315 sesaham IJM) dan 90% bayaran melalui penerbitan saham baharu Sunway pada harga RM5.65 sesaham
Presidennya, Mohd Azamanizam Baharon berkata, urus niaga itu pada zahirnya kelihatan sebagai “strategic deal”.
Namun realitinya Sunway sedang menggunakan sahamnya yang kini diniagakan jauh lebih mahal daripada nilai aset sebenar sebagai “mata wang” untuk mengambil alih aset strategik negara.
Dakwanya, harga saham IJM Corporation Berhad lebih kurang RM2.80 dengan nilai aset ketara (NTA) lebih kurang RM2.91.
Ini menjadikan IJM diniagakan di bawah atau hampir nilai aset sebenar berbanding harga saham Sunway Berhad RM5.63 dan NTA lebih kurang RM2.34, diniagakan lebih 2.4 kali ganda NTA.
“Ini menjadikan penilaian pendapatan IJM25 kali manakala Suwnay 34 kali, jelas Sunway sedang berada pada penilaian pasaranyangsangat mahal, manakala IJM pula dinilai murah.
“Transaksi ini secara asasnya memindahkan nilai daripada pemegang saham IJM kepada Sunway. Sekiranya transaksi ini diteruskan, pemegang saham IJM akan menerimakira-kira1.76 bilion saham baharu Sunway. Jumlah saham Sunway akan meningkat kepada kira-kira 8.57 bilion saham.
“Pegangan pemegang saham IJM dalam entiti gabungan hanyalah sekitar 20.5%. Dari sudut nilai, 1 saham IJM RM2.90 ditukar kepada RM0.315 tunai. Manakala 0.502 saham Sunway anggaran RM2.835. Jumlah anggaran RM3.15. Ini bermaksud, aset IJM yang bernilai sebenar RM2.91 hanya dijual dengan premium kecil, tetapi dibayar menggunakan saham Sunway yang sendiri telah dimahalkan jauh daripada nilai asetnya,” dakwa beliau.
Azamanizam menegaskan, menegaskan prinsip asas pasaran yang jelas iaitu jika Sunway mahu membeli IJM secara tunai, itu transaksi biasa.
Tetapi membayar menggunakan saham yang telah melonjak 2–3 kali ganda daripada nilai asasadalah isu integriti pasaran.
“Kenaikan harga saham Sunway daripada sekitar RM1.50 kepada lebih RM5.60 dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah luarbiasa dan menimbulkan persoalan serius, adakah kenaikan ini benar-benar organik atau telah “diposisikan” untuk digunakan dalam transaksi ini?,” soal beliau.
Bahkan, tambahnya, ia memberi ancaman kepada ekuiti bumiputera dan dana rakyat kerana IJM bukan syarikat biasa kerana pemegang saham utamanya termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Berhad/Amanah Saham Nasional, Kumpulan Wang Persaraan dan Lembaga Tabung Haji.
“Ini adalah institusi yang memegang amanah simpanan jutaan rakyat dan bumiputera. Jika transaksi ini diteruskan, aset strategik negara berpindah tangan, tetapi rakyat hanya menerima saham minoriti dalam syarikat yang nilainya berisiko berada di paras tidak realistik.
“Sekiranya harga saham Sunway merosot pada masa hadapan, kerugian akan ditanggung oleh dana rakyat, bukan pihak pengambil alih,” ujarnya.
Sehubungan itu, Perdasama mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk campur tangan secara langsung bagi menghalang satu kesilapan dasar yang besar dan bersejarah.
“Perdasama menuntut semua proses transaksi digantung serta-merta dan mahu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia menjalankan siasatan penuh terhadap pergerakan dan penilaian saham Sunway.
“KWSP, PNB, KWAP, Tabung Haji dan semua GLIC pula menolak dan tidak menyokong transaksi ini sehingga penilaian bebas, telus dan adil dilaksanakan.
“Jika Sunway benar-benarmahu memiliki IJM, buatlah tawaran tunai atau tawaran yang mencerminkan nilai sebenar IJM, bukan melalui saham yang telah dimahalkan pasaran. Ini bukan soal kebijaksanaan kewangan atau kecekapan pasaran. Ini soal pilihan negara.
“Adakah kita mahu terus memiliki aset strategik atau menukarnya dengan kertas yang nilainya boleh jatuh pada bila-bila masa?,” soalnya lagi sambil memberitahu Perdasama tidak akan berdiam diri melihat ekuiti bumiputera dan dana rakyat dikorbankan melalui transaksi yang tidak adil, tidak seimbang dan berbahayakepada masa depan ekonomi negara.-19/1/2026



