
Rancangan 10 tahun pendidikan nasional dilancarkan Selasa
Rancangan Pendidikan Negara (RPN) bagi tempoh satu dekad iaitu 2026 hingga tahun 2035, akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan bersama memaklumkan, Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 merupakan rancangan strategik pendidikan nasional.
Menurut KPT dan KPM, ia merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
Katanya, pelancaran rancangan yang akan disempurnakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu dilihat sebagai iltizam kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem pendidikan yang bermutu, terangkum dan berdaya saing di peringkat global.
“Di peringkat KPT, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 adalah dokumen hala tuju pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang, sebagai kesinambungan dan pengganti kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
“RPTM 2026-2035 dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan 181 orang pakar tempatan dan 8,226 pihak berkepentingan merangkumi para sarjana, tokoh akademik, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, pihak industri serta wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, kenyataan itu menyifatkan RPTM 2026-2035 sebagai dokumen dinamik iaitu fleksibel dan responsif terhadap perubahan landskap global serta kemajuan teknologi.
Baca artikel lain: ‘Kejayaan sistem pendidikan libatkan semua pihak’, PM luang masa santuni murid sekolah
Jelasnya, fokus utama pelan itu turut merangkumi pembangunan bakat pembina negara yang dipacu matlamat, berdaya tahan dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat.
KPT dan KPM memaklumkan, integrasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) turut menjadi pemboleh daya dalam kurikulum dan penyelidikan bagi melahirkan pencipta teknologi masa hadapan.
“Pada masa sama, RPTM 2026-2035 turut memfokuskan kepada keterangkuman akses dengan usaha memperluas pendidikan tinggi serta pemerkasaan peranan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serantau,” katanya.
Sementara itu, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang diterajui KPM pula akan menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan dalam negara selaras dengan Visi KPM iaitu ‘Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera’.
Katanya, rancangan itu digerakkan melalui tujuh teras strategik dan 29 prakarsa berimpak tinggi.
Kenyataan itu menegaskan, ia memberi penekanan kepada peningkatan akses dan kualiti pendidikan; pembangunan pontesi murid; transformasi pendidik; pemantapan prasarana dan inrastruktur, tindakan bersama pemegang taruh serta pengukuhan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian.
“Pelaksanaan RPTM dan RPM 2026-2035 secara bersepadu di bawah Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh dan berfasa bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.-19/1/2026



