TAHUKAH ANDA

RPN 2026-2035 dapat respon positif orang ramai

Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang dilancarkan pada Selasa (20 januari 2026) mendapat respons positif daripada ibu bapa, yang menjangkakan ia akan melonjakkan kualiti pendidikan secara menyeluruh pada masa hadapan.

Seorang pekerja swasta, Zatil Zulkifli, berkata rancangan itu akan menjadikan pendidikan negara lebih bermutu tinggi dan selaras dengan kehendak pasaran semasa, khususnya selepas pelajar menamatkan pengajian, selain memenuhi keperluan pasaran global.

“Bagi saya yang mempunyai anak berusia bawah enam tahun, memang ia satu pengumuman baik kerana anak boleh ke sekolah seawal umur enam tahun dan mendapat pendedahan awal serta ilmu pengetahuan lebih awal. Saya harap idea ini dapat dilaksanakan dengan baik di peringkat sekolah.

“Aspek lain seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) saya bersetuju agar generasi baharu dapat menggunakan peluang sebaik mungkin untuk bersaing pada masa hadapan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melancarkan RPN 2026-2035 sebagai langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.

Rancangan pendidikan baharu itu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

Seorang lagi pekerja swasta, Mohammad Syaffiq Mohd Nawawi, menyifatkan RPN 2026–2035 sebagai langkah bijak yang memberikan peluang lebih baik kepada pelajar pada masa hadapan.

“Sebagai contoh, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan biasiswa percuma memberikan peluang kepada pelajar kurang berkemampuan dan keluarga sederhana untuk menyambung pelajaran tanpa memikirkan beban kewangan.

“Selain itu, TVET dinaik taraf untuk mengikut perkembangan zaman moden, sekali gus memberi peluang kepada pelajar menguasai kemahiran yang relevan dengan dunia serba canggih ini,” katanya.

RPN 2026–2035 disasarkan untuk membina generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai, selari dengan usaha kerajaan melakukan reformasi pendidikan secara menyeluruh.-21/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button