
Bos IJM bergelar Tan Sri antara yang dirakam kenyataan oleh SPRM
Sembilan individu termasuk seorang anggota pengurusan tertinggi yang bergelar Tan Sri hadir dirakam percakapan pada Selasa berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram membabitkan syarikat IJM Corporation Bhd mencecah RM2.5 bilion.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua individu terbabit hadir ke pejabat suruhanjaya itu pukul 10 pagi Selasa.
“Kita sudah memanggil mereka dan pihak berkenaan telah menghubungi pegawai kita serta datang ke pejabat SPRM untuk memberi kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Penyerahan Projek dan Majlis Perasmian Pusat Latihan Asas, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Selasa.
Ujarnya, siasatan yang dijalankan membabitkan syarikat korporat dan memerlukan masa bagi meneliti secara terperinci dokumen serta maklumat berkaitan.
“Ini adalah kes yang melibatkan isu yang kompleks. Jadi, kita perlu masa sedikit untuk mengkaji dokumen dan sebagainya,” katanya.
Justeru, beliau meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
Tegasnya, sekiranya hasil siasatan mendapati wujud kesalahan, SPRM akan meneruskan siasatan dengan lebih lanjut.
“Sekiranya tiada kes, saya akan umumkan bahawa kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Semalam, media melaporkan satu siasatan dijalankan terhadap syarikat pembinaan berkenaan berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram mencecah RM2.5 bilion.
Sementara itu Azam berkata pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat semalam yang mahu usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa dilaksanakan dengan tegas oleh SPRM.
“Kami tidak akan memilih kasih, memilih bulu dan sebagainya tanpa mengira kelas seseorang itu dan ini sebenarnya telah dibuktikan oleh SPRM sejak beberapa tahun lepas lagi.
“Jadi kalau ada masyarakat masih memandang kami hanya menyiasat ikan bilis, terpulang. Ini semua persepsi-persepsi yang pada saya mereka-mereka yang mungkin hanya mahu melihat tentang kejatuhan SPRM saja,” tambahnya.-21/1/2026



