
Tiada khabar buruk dari PM…
Dengar cerita gara-gara beredar maklumat pada sebelah tengahari Rabu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim nak adakan sidang akhbar khas jam 3 petang ramai juga yang merasa kurang sedap hati.
Kata orang faham-faham sudahlah keadaan geopolitik semasa.
Siapa saja boleh menduga dalam keadaan ketegangan di Asia Barat antara Iran VS Amerika dan Israel sekarang apa saja khabar buruk khususnya bab ekonomi boleh sekelip mata menjelma.
Ini kerana rantau itu bergelumang dengan minyak yang menjadi komoditi maha penting bagi semua negara.
Namun kita boleh menarik nafas lega bila Perdana Menteri tidak umum sebarang perubahan pada harga RON95 yakni RM1.99 seliter sekarang.
Malah katanya “kita dalam keadaan yang sangat membanggakan, Alhamdulillah. Bila kita semak dengan PETRONAS terutamanya, kita dapati bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.
“Ini tentunya berbeza daripada keadaan di kebanyakan negara lain. Sebab itu, saya selalu tekankan mengenai isu tatakelola pengurusan yang cekap, beramanah dan profesional,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di Putrajaya.
Beliau mengakui pengekalan harga diparas RM1.99 sen walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi adalah satu keputusan sukar.
“Harga sebenar jauh lebih tinggi apatah lagi kalau dibandingkan harga dengan negara jiran tiga kali ganda (lebih tinggi),” katanya.
Anwar juga beritahu sebagai langkah berdepan dengan situasi mencabar ini kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah penjimatan.
Ini katanya termasuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri melibatkan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) .
Kunjungan ke luar negara oleh anggota Jemaah Menteri dan jabatan dihadkan kecuali bagi acara yang sudahy dijadual awal dan wajib dihadiri.
“Ada yang bertanya kalau keadaan terkawal, harga dan barang keperluan seperti minyak dan gas itu masih boleh disediakan, apa keperluan kita (untuk) waspada dan berjimat, saya kata ini langkah waras bagi kita suoaya jangan nanti terjebak dalam keadaan lebih parah.
“Jadi sebaiknya ambil sikap sederhana, lebih bertanggungjawab,” katanya.
Anwar kata susulan konflik di Asia Barat serta gangguan bekalan minyak dianggarkan lebih 400 kapal tangki minyak dan 3,000 kapal pengangkut biasa telah terkandas di Selat Hormuz dan harga minyak Brent mencecah ASD119 bagi setiap tong pada 9 Mac lepas.
“Walaupun harga minyak kini di bawah paras ASD90, ia masih tidak menentu dan menyebabkan peningkatan harga pasaran minyak petrol dan diesel yang mendadak,” katanya.- 11/3/2026



