
Tiga pusat beli-belah dijadikan hab bas ekspres KL–Singapura
Tiga pusat beli-belah utama di sekitar ibu negara dikenal pasti untuk dijadikan hab pengangkutan awam, khususnya bagi perkhidmatan bas ekspres antara Kuala Lumpur-Singapura.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, inisiatif itu bagi mengatasi isu bas ekspres berhenti di lokasi tidak berlesen, sekali gus memastikan operasi dijalankan di kawasan lebih selamat, teratur dan sesuai.
Ia selain meningkatkan keselesaan penumpang serta mengurangkan kesesakan di pusat bandar.
Katanya, perkhidmatan bas ekspres bagi destinasi berkenaan telah lama dijalankan tetapi setakat ini bas-bas itu berhenti, mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dilesenkan seperti di hadapan pusat beli-belah Berjaya Times Square dan Corus Hotel, dua lokasi tumpuan di pusat bandar raya.
“Sejak beberapa bulan lepas, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil tindakan penguatkuasaan selain memberikan notis kepada syarikat-syarikat pengusaha supaya berpindah ke kawasan lebih selamat dan berlesen.
“Selepas mendengar maklum balas pihak terlibat, kita mengambil pendirian bahawa bas-bas ekspres ini perlu beroperasi di kawasan lebih sesuai dan selamat serta berhampiran lokasi tumpuan di pusat bandar raya,” katanya dalam sidang media sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Hab Pengangkutan Lalaport yang terletak di Aras LG1, Mitsui Shopping Park Lalaport Bukit Bintang City Centre (BBCC), di sini.
Dalam pada itu Loke berkata, hab pengangkutan Lalaport dijangka beroperasi bulan depan.
Kemudahan di Lalaport kini hampir lengkap dan berpotensi menjadi hab pertama yang dilesenkan, khususnya bagi perkhidmatan bas ekspres KL-Singapura.
Manakala kemudahan di tiga lokasi lain iaitu One Utama di Petaling Jaya dan IOI City Mall Putrajaya perlu dinaik taraf bagi memastikan keselamatan penumpang sebelum lesen operasi boleh dikeluarkan APAD. Beliau memaklumkan, Sunway Pyramid berada dalam senarai penilaian.
“Lalaport mempunyai kelebihan daripada segi lokasi yang strategik dan keupayaan integrasi dengan sistem pengangkutan rel seperti LRT dan monorel, selain disokong kemudahan pusat beli-belah,” katanya.
Kemudahan utama lain yang disediakan termasuk sistem jualan tiket bersepadu, akses pertukaran ke perkhidmatan LRT dan Monorel serta perkhidmatan Bus On Demand (BOD) yang menghubungkan Lalaport dengan kawasan Bukit Bintang dan Mont Kiara.
Dalam pada itu, Loke berkata sebelum ini, MOT memberi tempoh kelonggaran selama tiga bulan kepada pengusaha bas ekspres KL-Singapura untuk kekal di lokasi sedia ada, iaitu di hadapan Berjaya Times Square dan Corus Hotel tanpa dikenakan saman, namun mereka akan diminta berpindah sebaik hab yang dikenal pasti bersedia sepenuhnya.
“Mereka perlu mematuhi peraturan dan hanya boleh beroperasi di lokasi yang telah dilesenkan. Ini bukan soal paksaan untuk beroperasi dari Terminal Bersepadu Selatan atau Terminal Bersepadu Gombak, tetapi soal keselamatan dan pematuhan undang-undang,” katanya.
Pada 2 November lepas, APAD mengesahkan operasi perkhidmatan bas ekspres Aeroline digantung sebulan bermula 6 November hingga 5 Disember, susulan syarikat bas ekspres milik Zulco Sdn Bhd itu didapati menyalahgunakan lesen bas ekspres dengan mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan.-22/1/2026



