
Fahmi tetapkan tiga fokus utama Kementerian Komunikasi tahun ini
Kementerian Komunikasi memberi tumpuan kepada tiga fokus utama pada tahun ini, iaitu pengukuhan infrastruktur digital, pembangunan industri kreatif serta pemantapan maklumat dan komunikasi kerajaan.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berkata ketiga-tiga fokus tersebut merupakan amanat utama kementerian bagi memastikan segala dasar, usaha dan pencapaian kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta difahami dan dirasai oleh rakyat.
Beliau berkata kementerian telah meminda beberapa akta berkaitan agensi di bawah kementerian termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), selain sedang melaksanakan usaha menyelesaikan beberapa perkara berkaitan My Creative Ventures.
Perkara itu disampaikan ketika beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, hari ini.
Menurutnya, fokus pertama melibatkan pengukuhan infrastruktur digital termasuk pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara Fasa Dua atau JENDELA 2, penyempurnaan projek Point of Presence (PoP) Fasa 2 serta pemasangan kemudahan WiFi di sekolah, universiti, kolej komuniti dan politeknik yang telah menerima kemudahan PoP.

Beliau berkata perancangan dasar rangkaian digital termasuk pembangunan kabel dasar laut turut perlu diberi perhatian bagi memastikan sistem rangkaian negara berada pada landasan yang mampan dan teratur.
Datuk Fahmi berkata perancangan rapi serta pelaksanaan yang konsisten amat penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Mengulas fokus kedua, beliau menjelaskan industri kreatif merupakan antara sektor yang berpotensi besar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, khususnya melalui industri perfileman dan animasi.
Menurutnya, kejayaan karya kreatif tempatan menembusi pasaran luar negara membuktikan industri kreatif berupaya menjadi sumber eksport baharu sekiranya diusahakan dengan baik dan disokong secara berterusan.
Beliau berkata pembangunan industri kreatif perlu disokong melalui kerangka kerjasama yang melibatkan sektor swasta bagi membangunkan ekosistem yang lebih kukuh dan berdaya saing.
Sementara itu, menyentuh fokus ketiga, Datuk Fahmi menegaskan kepentingan maklumat dan komunikasi kerajaan yang berkesan, khususnya dalam menyampaikan dasar serta pengumuman penting kepada rakyat.
Beliau berkata setiap pengumuman dasar perlu disusuli dengan penerangan yang jelas, penggunaan grafik yang mudah difahami serta penyediaan soalan lazim bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Katanya, Jabatan Penerangan serta unit komunikasi strategik kementerian dan agensi perlu memainkan peranan lebih aktif bagi memastikan mesej kerajaan sampai kepada kumpulan sasaran dalam bahasa yang mudah dan tepat.-22/1/2026



