
Anugerah Malaysia Car of the Year dimenangi oleh MPV elektrik Zeekr 009
Pelik tapi benar… tahukah anda anugerah Malaysia Car of the Year (MCOTY) 2025 dimenangi oleh MPV mewah elektrik Zeekr 009 Ultra Luxury sekaligus mencerminkan peralihan jelas industri automotif negara ke arah kenderaan elektrik.
Anugerah MCOTY dimenangi oleh Zeekr 009 Ultra Luxury, yang menonjol menerusi teknologi rangkaian kuasa elektrik canggih, tahap keselamatan tinggi, serta ciri kemewahan moden, sekaligus menetapkan penanda aras baharu bagi industri automotif tempatan.
Pencapaian itu mengukuhkan trend penerimaan kenderaan elektrik di Malaysia, khususnya dalam segmen bernilai tinggi dan premium, sejajar dengan peralihan teknologi automotif global yang semakin pesat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kemajuan industri tidak hanya tertumpu kepada teknologi semata-mata, tetapi turut melibatkan perubahan minda dan keberanian membuat keputusan strategik.
“Perkembangan bukan sekadar mengenai produk atau teknologi baharu. Ia mengenai mindset, keberanian untuk berubah dan beradaptasi, serta keberanian membuat keputusan hari ini yang membentuk masa depan,” katanya pada majlis gala dinner MCOTY 2025.
Beliau menambah bahawa penganjuran anugerah seperti MCOTY bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan produk, tetapi juga mencerminkan kesiapsiagaan industri automotif negara menghadapi peralihan mobiliti dan transisi tenaga secara mampan.
Industri automotif terus menjadi salah satu tunjang kritikal sektor pembuatan negara, kedua selepas elektronik dan elektrik. Ia bukan sekadar pemasangan kenderaan, tetapi merangkumi ekosistem vendor, jurutera, penyedia logistik, pembuat alat, pereka, dan tenaga mahir yang memainkan peranan penting dalam menyokong tulang belakang industri negara.
Sementara itu, People’s Choice Award 2025 menjadi milik Proton X50 1.5TD Flagship, mencerminkan sentimen pengguna yang semakin menitikberatkan teknologi, kecekapan tenaga, keselamatan dan nilai, selari dengan hala tuju peralihan industri automotif.
Anugerah MCOTY terus berfungsi sebagai penanda aras industri automotif negara, sejajar dengan aspirasi nasional dan trend global untuk penyelesaian mobiliti yang lebih bersih, selamat, dan lestari.-23/1/2026



