
Salah petik YDPA: Boss China Press beri keterangan kepada MCMC
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan ketua editor dan pengarang dalam talian akhbar berbahasa cina, berhubung satu kandungan terbitan media itu yang dipercayai melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, siasatan dijalankan, susulan laporan yang diterima terhadap kandungan berkenaan yang disiarkan melalui akaun rasmi di platform media dalam talian.
Menurut MCMC, kandungan tersebut didakwa mengandungi maklumat palsu berkaitan Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen, khususnya berhubung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang berpotensi menimbulkan kekeliruan awam.
“Penelitian awal mendapati kandungan berkenaan membawa maksud yang berbeza daripada Titah sebenar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sekali gus boleh mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap Institusi Diraja serta kepentingan nasional,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan beberapa peralatan dan bahan berkaitan turut disita bagi membantu siasatan lanjut.
MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penerbitan yang melibatkan Titah Yang di-Pertuan Agong serta perkara berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta mengingatkan semua organisasi media supaya melaksanakan semakan fakta secara teliti serta mematuhi prinsip kewartawanan bertanggungjawab.-23/1/2026



