YANG VIRAL

PM mahu projek ternakan babi Bukit Tagar dinilai semula

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan isu kontroversi- kawasan ternakan babi baharu di Bukit Tagar akan dinilai semula, dengan penekanan diberikan terhadap aspek persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum yang tinggal berhampiran kawasan terbabit.

Beliau berpandangan kebimbangan masyarakat setempat wajar diberi perhatian serius, walaupun teknologi ternakan yang dicadangkan adalah yang terbaik.

“Saya akan bincang semula dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mengambil kira keresahan dan juga nasihat dan titah Tuanku Sultan Selangor.

“Tentunya ini bidang kuasa dan wibawa kerajaan Selangor, tapi saya fikir ia telah menimbulkan sedikit keresahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Al-Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Menteri Besar Selangor bagi mendapatkan pandangan serta mempertimbangkan cadangan supaya projek tersebut dibatalkan sementara waktu.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor, bagi mendapatkan pandangan agar, jika boleh, projek tersebut dibatalkan terlebih dahulu dan dipertimbangkan semula di kawasan yang lebih sesuai, dengan syarat teknologi itu benar-benar terjamin.

“Walaupun teknologi tersebut merupakan yang terbaik, namun sekiranya pelaksanaannya di kawasan yang menimbulkan keresahan, ia sememangnya tidak wajar diteruskan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar pilihan lain dipertimbangkan, termasuk membangunkan projek ternakan di kawasan sedia ada yang telah mempunyai aktiviti ternakan, dengan syarat pematuhan ketat terhadap penggunaan teknologi baharu yang menjamin keselamatan alam sekitar.

Perdana Menteri turut menegaskan isu pencemaran daripada aktiviti ternakan tidak boleh dipandang ringan, khususnya melibatkan ternakan ayam dan babi yang berpotensi memberi kesan besar kepada alam sekitar.

“Isu kandang ternakan ayam, ternakan babi lebih lagi, itu masalah pencemaran yang sangat berat, sepertimana berlaku di Morib sekarang,” katanya.-24/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button