
Terima kasih rakyat Kinabatangan, Lamag – Zahid
Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag atas mandat yang diberikan kepada calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Beliau menerusi hantaran Facebook menyifatkan keputusan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kesinambungan kepimpinan serta kestabilan yang diharapkan bagi kawasan tersebut.
“Kemenangan Saudara Naim Kurniawan Moktar di Parlimen Kinabatangan dan Saudara Mohd Ismail Ayob (MIHA) di DUN Lamag adalah sebuah amanah besar untuk meneruskan legasi khidmat Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang sepanjang hayatnya meletakkan Kinabatangan dan Lamag sebagai keutamaan perjuangan.
“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera Barisan Nasional serta rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri Sabah yang telah bersama-sama memastikan kemenangan ini,” menurut hantaran itu.
Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan, Mohd Kurniawan Naim Moktar mencatat kemenangan besar di Parlimen Kinabatangan apabila memperoleh majoriti 14,214 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Beliau meraih sebanyak 19,852 undi, mengatasi pencabar dari Parti Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman yang memperoleh 5,638 undi, manakala calon Bebas, Goldam Hamid, meraih 946 undi.
Bagi kerusi DUN Lamag pula Mohd Ismail Ayob turut mencatat kemenangan selesa dengan majoriti 5,681 undi menewaskan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
Dalam pertembungan satu lawan satu itu, Mohd Ismail memperoleh 7,269 undi manakala Mazliwati mencatat 1,588 undi.
Pilihan raya kecil berkenaan diadakan berikutan pemergian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu pada usia 66 tahun.-25/1/2026



