
Anwar doakan legasi arwah Bung Moktar terus dipelihara
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Mohd Kurniawan Naim Moktar serta Mohd Ismail Ayob atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, semalam.
Beliau juga mendoakan agar legasi khidmat dan kepemimpinan Allahyarham Bung Moktar Radin terus dipelihara sebaiknya dengan kemenangan tersebut.
“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional atas kemenangan dalam PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag semalam.
“Keputusan ini mencerminkan keyakinan rakyat yang berterusan terhadap usaha, khidmat dan komitmen yang telah dipertunjukkan di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kemenangan itu wajar ditanggapi dengan sikap tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan yang berintegriti serta tahap khidmat yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan.
Katanya, Kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan pembangunan di Sabah dapat dimantapkan, kesejahteraan rakyat terus dipelihara dan agenda yang madani dapat dijelmakan dengan tekad secara bersama.-25/1/2026



