FOKUS

Projek ternak babi moden di Bukit Tagar dibatalkan

Kerajaan Negeri Selangor membatal dan menangguhkan projek penternakan babi di Bukit Tagar berikutan bantahan masyarakat, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang mencari lokasi baharu serta mengadakan perbincangan dengan pengusaha ternakan, selain menjelaskan salah faham yang timbul.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada hubungi saya ketika saya berada di luar negara. Isu ini sudah melampaui hal sebenar, jadi kita tangguh dan batalkan buat sementara sehingga ada pilihan tapak atau kaedah lain,” katanya selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 di Dewan Raja Muda Musa, hari ini.

Amirudin berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah mengarahkan Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim, mencari kawasan alternatif bagi projek berkenaan.

“Pada hari Rabu lepas, MMKN memang telah memberikan arahan untuk mencari kawasan lain kerana kita lihat ada bantahan keras, kemudian diikuti cadangan Perdana Menteri yang saya sambut baik,” ujarnya.

Menurut beliau, projek itu masih di peringkat awal tanpa kertas kerja atau kelulusan rasmi, namun persepsi awam bahawa ia akan dilaksanakan segera telah menimbulkan kekeliruan.

“Isu ini pramatang. Penglibatan masyarakat, penilaian impak sosial (SIA) dan proses lain sepatutnya dibuat terlebih dahulu. Kita akui mungkin ada pengumuman yang mendahului proses sepatutnya,” katanya.

Amirudin turut menafikan dakwaan sinis bahawa projek di Bukit Tagar akan dibangunkan seperti “hotel babi”, sambil menegaskan kerajaan negeri tidak bercadang melaksanakan projek berskala besar.

“Bukan mega, bukan besar-besaran. Anggaran hanya sekitar 20 hingga 30 peratus keperluan. Dakwaan ‘mega’ itu berlebihan,” katanya, menambah matlamat utama ialah menyusun semula penternakan babi yang berselerak bagi mengawal isu kebersihan dan alam sekitar.

Pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan rancangan kerajaan negeri membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Jumaat lalu, Perdana Menteri turut mengesyorkan agar projek berpusat di Bukit Tagar dibatalkan terlebih dahulu atau dipindahkan ke kawasan baharu yang lebih sesuai.-26/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button