SUARA PEMBACA

Kerajaan MADANI komited bekal elektrik ke sekolah pedalaman Sarawak

Kerajaan MADANI meneruskan komitmen bagi memastikan bekalan elektrik 24 jam yang stabil di sekolah pedalaman Sarawak dengan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid dan Naik Taraf Sistem Bekalan Elektrik bagi tempoh 2025 hingga 2027.

Projek yang dilaksanakan menerusi Kementerian Kerja Raya itu melibatkan 121 sekolah luar bandar di Sarawak dan bertujuan untuk menggantikan penggunaan jana kuasa diesel yang mahal serta sukar diselenggarakan, khususnya di kawasan pedalaman.

“Pelaksanaan sistem solar hibrid itu membolehkan penjimatan kos operasi dan penyelenggaraan sehingga 80 peratus, bersamaan kira-kira RM90 juta setahun berbanding penggunaan diesel,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Siap Sistem Solar Hibrid di Sekolah Kebangsaan Nanga Bangkit, Katibas, Song, hari ini.

Menurutnya, kerajaan telah memperuntukkan RM274.5 juta di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Nanta berkata setakat ini, 97 sekolah telah siap dan beroperasi sejak 2023, manakala 15 sekolah lagi disiapkan dan diserahkan pada November 2025, dengan baki sembilan sekolah dijadualkan siap secara berperingkat pada 2026 dan 2027.

Secara keseluruhan, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 murid dan hampir 2,000 guru di pedalaman Sarawak, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan luar bandar secara adil, inklusif dan mampan.-26/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button