YANG VIRAL

Kerajaan berjaya kutip dana tambahan RM15.5 bilion… ini sebabnya

Kerajaan berjaya mengutip dana tambahan sebanyak RM15.5 bilion dalam tempoh lebih dua tahun hasil pengukuhan sistem, disiplin penguatkuasaan serta kerjasama antara agensi.

Sehubungan itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan sikap serta peningkatan kecekapan perlu dijadikan keutamaan, khususnya dalam pengurusan ekonomi dan tadbir urus.

Jelas beliau ini bagi memastikan negara mencatat pertumbuhan yang mampan.

“Jika negara ini mahu mencatat pertumbuhan yang mampan serta kemajuan, khususnya dalam bidang ekonomi, (kita) memerlukan perubahan sikap yang lebih positif, kesediaan menerima realiti baharu, peningkatan tahap kecekapan dan pengukuhan integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-44 Tahun 2026 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kejayaan mengutip dana tambahan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa semangat kerjasama dan kesungguhan pelbagai agensi penguatkuasa.

Menurutnya, antara agensi terlibat ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

“Dalam tempoh lebih dua tahun, kita berjaya memperoleh tambahan RM15.5 bilion, yang merupakan wang rakyat, hak rakyat yang sebelum ini dirampas akibat kelemahan dan ketidakkemasan dalam sistem pengurusan.

“Kerjasama, tekad dan kesungguhan inilah yang membolehkan kita bukan sahaja mencatat prestasi yang baik, malah berjaya mengumpulkan dana tambahan,” katanya.

Namun Anwar menegaskan walaupun kerajaan berjaya mengutip dana tambahan berkenaan, jumlah itu masih belum mencukupi dan usaha mengekang ketirisan serta mendapatkan semula dana rakyat perlu diteruskan.

Tegas beliau, usaha memerangi ketirisan dan kebocoran hasil negara perlu diteruskan secara konsisten demi menjamin kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat. -27/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button