TAHUKAH ANDA

Pelaksanaan JENDELA Fasa 1 hampir selesai – MCMC

Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 capai tahap 99.1 peratus bagi pembangunan infrastruktur digital.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia(MCMC) menerusi kenyataan memaklumkan, peningkatan liputan, kapasiti dan kualiti rangkaian mudah alih direalisasikan menerusi pelaksanaan pelan berkenaan.

Antara pencapaian utama ialah pembinaan 1,646 menara komunikasi baharu daripada sasaran keseluruhan 1,661 menara, dengan 1,618 daripadanya telah beroperasi sepenuhnya bagi menyediakan perkhidmatan 2G dan 4G.

Jelas MCMC, pelaksanaan JENDELA Fasa 1 turut menyaksikan peningkatan ketara liputan Internet di kawasan berpenduduk, yang kini mencecah 99.71 peratus setakat akhir Disember 2025, berbanding 91.8 peratus sebelum inisiatif itu dilaksanakan.

Selain itu, jumlah premis yang diliputi rangkaian meningkat hampir dua kali ganda daripada 4.96 juta kepada 9.81 juta premis, manakala kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih turut meningkat kepada 143.70 Mbps, melepasi sasaran yang ditetapkan.

Dalam usaha memperkukuh liputan digital, penambahbaikan rangkaian turut dilaksanakan di tujuh kawasan tumpuan termasuk institusi pengajian tinggi awam, kawasan pelancongan, stadium, kawasan acara, kem tentera, hospital dan lebuh raya.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah pemasangan lebih 34,000 titik akses Wi-Fi di 126 kampus universiti awam, penyediaan kemudahan gentian optik di 73 kem tentera, serta peningkatan kapasiti rangkaian di kawasan acara utama di seluruh negara.

MCMC menambah, pelaksanaan JENDELA Fasa 2 akan diteruskan bagi memperluas akses Internet ke kawasan luar bandar dan koridor pengangkutan utama, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh ekosistem digital negara secara mampan dan inklusif.-27/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button