Monday - 23, December 2024

Pencen pesara kerajaan tidak akan berkurang : PM

Share

Kerajaan memberi jaminan pencen pesara penjawat awam di negara ini tidak akan berkurang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga memutuskan menokok kekurangan yang berlaku akibat keputusan mahkamah terdahulu.

“Walaupun ada keputusan mahkamah, kerajaan khususnya Perbendaharaan membuat keputusan untuk menokok jumlah yang dianggap kurang itu supaya tidak kurang daripada pencen yang sepatutnya diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Sumbangan Kasih Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) dan Yayasan Alumni PTD di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Khamis malam.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen menjadikan pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA) itu tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan.

Bagaimanapun pada Julai lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.TA YANG BERKAITAN

Ini bermakna bayaran pencen bagi yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada jumlah diterima pada Disember 2013.

Manakala bagi yang bersara mulai 2013 menerima amaun pencen asal semasa bersara.

Bagaimanapun Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perbezaan jumlah pencen semasa dengan pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi menjadikan amaun diterima sama seperti yang diterima pada Jun 2023.

Mengulas mengenai kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Anwar berkata kerajaan komited meneliti perkara itu secara mendalam namun ia memerlukan sedikit masa.

“Dalam penyelarasan gaji ini, tentu isunya akan diteliti dan dikaji dan saya percaya SSPA ini sudah cecah 11 tahun belum ada kajian semula. Bukan masalahnya saya hendak memenangi atau memujuk penjawat awam, tetapi ini kenyataannya.

“Sepatutnya ia disemak setiap 10 tahun, namun kerana politik itu tidak berkesudahan jadi tidak sempat fikir masalah penjawat awam. Tetapi sekarang wujudnya Jawatankuasa Semakan Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, Insya-Allah, ia akan dapat diatasi,” katanya.-14/12/2023

Read more

khabar terbaru