FOKUS

Seminggu nilai kemampuan atau berundur… kata dua PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang sabar melihatkan kepada masalah rasuah, pencerobohan, penyeludupan dan kegiatan gelap yang masih berlaku di negara ini.

Lebih mendukacitakan, jelas beliau, apabila sebahagiannya berlaku kerana ruang dan keizinan badan penguat kuasa itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau memberi tempoh seminggu kepada semua pimpinan dan anggota penguat kuasa menilai sama ada mampu memikul amanah ini atau berundur untuk memberi ruang kepada orang lain.

“Sudah sampai ketikanya di mana kita harus beri jawapan, kalau saudara diamanahkan dan rasanya kurang mampu untuk melaksanakan.

“Kerana cabaran terlalu besar dan ujian berat dan minat atau tarikan, pelawaan terlalu menarik, saya syorkan, dimaklumkan dalam tempoh seminggu ini kepada ketua-ketua, kepada saya.

“Bagi tahu kita belum bersedia untuk mengambil langkah berani dan oleh itu beri laluan kepada orang lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Perdana Menteri menegaskan, beliau menaruh kepercayaan tinggi kepada sebahagian besar anggota yang jujur, ikhlas dan berintegriti dalam usaha menyelamatkan negara ini.

“Pangkat dan bintang bergemerlapan di bahu bukan sekadar hiasan, tetapi amanah untuk kita menegakkan kebenaran dan keadilan,” katanya lagi.-29/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button