
Tangani kelemahan penguatkuasaan segera
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tegas kepada semua agensi penguat kuasa supaya bertindak segera bagi memperbaiki sebarang kelemahan dan kelompongan dalam sistem negara.
Penegasan itu khususnya melibatkan usaha menangani isu penyeludupan, ketirisan serta kelemahan tatakelola yang menuntut tindakan tegas dan komitmen bersepadu antara semua agensi berkaitan.
Beliau berkata kegagalan untuk bertindak menimbulkan persoalan terhadap nilai integriti, kebenaran, hikmah, ehsan dan keadilan dalam kalangan penjawat awam.
“Kerja satu pasukan dan cuba selesaikan sebaik mungkin. Yang pegang jawatan yang bintang-bintang, gemerlapan itu bukan calang-calang orang. Bekerja puluhan tahun dan mendapat pengiktirafan sekian lama oleh pelbagai jawatan.
“Tetapi bintang gemerlapan itu harus juga mendorong, memaksa kita melakukan sesuatu yang benar dan bijak. Jangan kita ambil sikap sambil lewa. Mudah memaafkan dan merasakan perkara ini boleh berlaku terus-menerus. Jadi saya menyeru rakan-rakan untuk segera bertindak mulai detik ini.”
Beliau berucap demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasaan Berkaitan Jenayah Kewangan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata walaupun pelbagai kejayaan dan pencapaian telah direkodkan sebelum ini, namun realiti semasa menuntut semua pihak untuk melaksanakan pembaharuan dan membawa perubahan menyeluruh demi kesejahteraan negara.
“Saya masih menaruh keyakinan kerana saya bekerja dan mengenali saudara semua. Saya tahu dalam hati yang kecil itu masih ada keinginan untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Itu adalah naluri manusia,” katanya.
“Saya mendoakan kepada Allah SWT agar kita dapat melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin mulai detik sekarang, tanpa pengecualian. Yang penting, pikullah amanah dengan penuh integriti demi menyelamatkan keluarga, masyarakat dan negara kita tercinta,” tambah beliau.-29/1/2026



