YANG VIRAL

PM arah ambil tindakan tegas terhadap warga asing langgar syarat pas sosial

Tindakan tegas terhadap warga asing yang melanggar syarat pas sosial perlu dilaksanakan secara berterusan, bagi membendung penyalahgunaannya untuk tujuan bekerja.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneruskan operasi penguatkuasaan terhadap pelancong asing yang bekerja secara tidak sah di Malaysia.

“Perdana Menteri telah meminta supaya tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing, khususnya pelawat yang menyalahgunakan pas sosial atau kelonggaran pemberian visa untuk tujuan bekerja, diambil tindakan tegas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet hari ini, selaku Jurucakap Kerajaan Perpaduan.

Tambahnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, dari tahun 2025 hingga pertengahan Januari lalu, seramai 54,791 individu telah diperiksa dan diambil tindakan dalam operasi penguatkuasaan berkenaan.

“Bagi tahun 2025, jumlahnya adalah seramai 51,100 orang, manakala bagi tahun 2026 sehingga bulan pertama, seramai 3,691 orang telah diambil tindakan.

“Terdapat pecahan lebih terperinci mengikut negara tertentu, namun untuk maklumat lanjut, rakan-rakan media boleh merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan peringatan Perdana Menteri berhubung integriti turut disusuli tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang mengeluarkan arahan kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian bagi memastikan aspek integriti diperkemas.

Rabu lalu, dalam Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasaan Yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan, Anwar memberikan amaran keras kepada pimpinan tertinggi agensi penguat kuasa dengan menetapkan tempoh seminggu untuk menyatakan kesediaan memikul amanah dan melaksanakan pembaharuan atau bersedia diturunkan ke jawatan lebih rendah, susulan masih wujud kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan.

Tegas Anwar, meskipun kerajaan mencatat pelbagai kejayaan dari segi ekonomi dan pemerintahan sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran, ruang untuk penambahbaikan masih luas dan tidak boleh dipandang ringan.-31/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button