
UMNO perlu keluar daripada kepompong politik lama – Zahid
UMNO perlu berani keluar daripada kepompong politik tradisional, sebaliknya membina kepimpinan masa depan yang berteraskan ilmu, nilai dan khidmat kepada rakyat.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) adalah langkah strategik untuk memutuskan kebergantungan parti terhadap politik tradisional yang bersifat reaktif dan jangka pendek, kepada politik penyelesaian yang lebih matang dan berpandangan jauh.
“UMNO dan Barisan Nasional mesti keluar daripada kepompong kebiasaan dan zon selesa.”
“Perubahan luar biasa tidak boleh digerakkan oleh seorang individu atau kelompok kecil sahaja. UMNO perlu berani keluar daripada pemikiran tradisional,” kata Zahid.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Pertama SPU di ibu negara, Ahad malam.
Setakat ini, seramai 158 alumni SPU telah dilahirkan sebagai pelapis yang diharapkan membawa nafas baharu kepada perjuangan parti.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid mahu golongan berkenaan menjadi para pemikir baharu untuk menganalisis, merumus dan memberi pandangan kepada kepimpinan UMNO pada masa akan datang.-2/2/2026



