TAHUKAH ANDA

Pulau Pinang serah pada SPRM siasat penyelewengan zakat

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memberi ruang sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan bebas berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan di negeri itu.

Beliau berkata SPRM telah mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan kerajaan negeri tidak akan campur tangan atau menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu.

“Sejak SPRM memulakan siasatan, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan tugas mereka secara bebas kerana kami bukan penyiasat tapi kerajaan negeri akan bagi kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Chow berkata demikian ketika mengulas tindakan SPRM Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri berkaitan urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.

Terdahulu SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan susulan pendedahan dibuat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung tahun lalu.

SPRM berkata, pasukan siasatan telah hadir ke beberapa pejabat disyaki terbabit bagi mendapatkan dokumen berkaitan dan kesemua bahan itu kini dalam proses penelitian.

Selain itu SPRM turut merakamkan percakapan dua individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Jelas Chow, isu itu sebenarnya telah dibangkitkan dan diberi penjelasan semasa Persidangan DUN Pulau Pinang pada November tahun lepas dan penjelasan yang diberikan ketika itu dianggap memuaskan.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri memanggil pegawai terbabit untuk mendapatkan penjelasan lanjut selain perbincangan di DUN sebelum ini, beliau berkata ia tidak perlu kerana kerajaan negeri berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan.

Beliau bagaimanapun berkata isu itu dibangkitkan semula baru-baru ini sehingga mendorong SPRM membuka siasatan rasmi.

Ketika mengulas kedudukan pegawai kanan itu Chow berkata individu berkenaan masih menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu hasil siasatan.-2/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button