KEMBARA

Lebih 3,000 pengunjung teruja rasai fenomena laut terbelah di Pulau Pangkor

Lebih 3,000 pengunjung di Pantai Teluk Nipah dekat Pulau Pangkor teruja apabila berpeluang berjalan kaki sejauh 400 meter di atas beting pasir yang menghubungkan ke Pulau Giam susulan fenomena laut terbelah akibat air surut.

Pengarah Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Anas Malek Ishak berkata pengunjung dapat menikmati fenomena itu kira-kira satu jam setengah yang dijangka berlaku selama tiga hari bermula hari ini.

Beliau berkata MPM turut bekerjasama dengan pihak penguat kuasa dan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Perikanan Malaysia bagi memastikan pengunjung dapat melintasi beting pasir itu dengan selamat.

“Ini adalah kerana semasa melintasi beting pasir itu, pengunjung akan menjumpai spesies timun laut, batu karang, sotong, ikan serta pelbagai hidupan laut yang lain, jadi ada yang terpijak kerana tidak perasan.

“Pihak bomba dan APM akan membunyikan wisel apabila air kembali naik dan meminta pengunjung supaya berpatah balik ke darat sebab kami tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Mohd Saiful Bahri Abdul Talib berkata sebanyak 10 anggota serta tiga aset daripada Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta kenderaan penyelamat bersiap siaga sekiranya berlaku sebarang kecemasan sepanjang tiga hari fenomena itu berlangsung.-3/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button