
Skandal rasuah RM67bilion… INTERPOL buru taikun minyak Indonesia Riza Chalid
Polis Antarabangsa (INTERPOL) mengeluarkan notis merah bagi penangkapan salah seorang taikun minyak terbesar Indonesia berhubung skandal rasuah bernilai AS$17 bilion (kira-kira RM67 bilion), menurut pihak berkuasa.
Mohammad Riza Chalid, yang digelar taikun minyak, dikehendaki pihak berkuasa di Indonesia kerana didakwa terbabit rasuah di syarikat minyak milik kerajaan, Pertamina, antara 2018 hingga 2023, termasuk pengubahan wang haram dan manipulasi perjanjian pajakan.
Setiausaha Biro Pusat Kebangsaan INTERPOL Indonesia, Widyatmoko berkata notis merah sudah dikeluarkan Interpol pada 23 Januari lalu.
“Kami tidak dapat menyatakan lokasi tepatnya, tetapi kami sudah tahu,” katanya.
Notis itu dihantar kepada 196 negara anggota INTERPOL untuk mendapatkan bantuan penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia bagi mengesan dan menahan Riza, 66, secara sementara.
Julai tahun lalu, Riza, anaknya Muhammad Kerry Adrianto Riza dan beberapa pegawai kanan Pertamina dinamakan dalam kes rasuah berkenaan.
Menurut Pejabat Peguam Negara, semua suspek berkenaan didakwa bekerjasama untuk mengimport minyak mentah daripada pembekal luar negara pada harga tinggi berbanding mendapatkan bekalan secara domestik seperti ditetapkan undang-undang Indonesia,
“Dianggarkan nilai rasuah itu sebanyak AS$17 bilion (kira-kira RM67 bilion) dan setakat ini 18 individu sudah dinamakan sebagai suspek dalam kes terbabit.
Pejabat Imigresen Indonesia juga memaklumkan pasport Riza sudah dibatalkan pada Oktober tahun lalu.
Indonesia sudah lama bergelut dengan isu rasuah dan menahan ramai penjawat awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2023, seorang bekas menteri komunikasi dipenjara selama 15 tahun selepas didapati bersalah dalam kes rasuah yang menurut penyiasat merugikan negara lebih AS$530 juta (kira-kira RM2.089 bilion). – AFP



