FOKUS

Malek Razak dilantik secara rasmi sebagai PAT Ke-24

Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-24, yang berkuat kuasa 1 Februari.

Majlis Pemakaian Pangkat dan Pelantikan PAT Ke-24 itu yang berlangsung di Kementerian Pertahanan hari ini turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pelantikan berkenaan selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri Ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu, sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 30 Januari 2026.

Sebelum ini, Malek Razak pernah diberi tanggungjawab sebagai Panglima Medan Barat Tentera Darat, selain pernah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat pemerintah dan staf sepanjang kerjayanya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau memiliki Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Sastera (Pengajian Pertahanan) dari King’s College London, serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) juga dari UKM.

Malek Razak memulakan perkhidmatan dalam ATM pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom, sebelum ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.

Kerjaya awal beliau bermula sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja, sebelum berkhidmat dalam pelbagai formasi dan unit, merangkumi hampir 40 tahun perkhidmatan yang menyaksikan beliau mempamerkan kepimpinan, kebolehan serta kecemerlangan yang tinggi.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan memaklumkan pengalaman luas dan kredibiliti yang dimiliki Malek Razak diyakini mampu terus memperkukuh kepimpinan serta keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara.

Menurut kenyataan itu, kepimpinan beliau yang berteraskan integriti dan profesionalisme diyakini mampu memulihkan serta memperkukuh wibawa ATM, di samping mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.

Majlis turut dihadiri Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Datuk Dr Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Azhan Md Othman.-4/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button