
DBKL diarah perkemas SOP, tutup ruang jenayah rasuah
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan memperbaiki kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dikenal pasti berpotensi membuka ruang kepada berlakunya jenayah rasuah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kelemahan tersebut dikesan hasil semakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa SOP DBKL, yang mendapati terdapat aspek tertentu perlu diperbetulkan dengan segera.
Menurutnya, SOP yang tidak jelas atau wujud dalam keadaan ‘kelabu’ sering menjadi punca berlakunya salah guna kuasa dan amalan rasuah.
“Oleh sebab itu, apabila sudah ada cadangan penambahbaikan dan saranan tepat, ia bukan lagi ‘grey area’, kita akan laksanakan dengan cepat,” katanya dalam sidang media Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan dan SPRM pada Selasa.
Dalam pada itu, Hannah turut meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur agar menyegerakan penerbitan SOP DBKL yang boleh diakses oleh orang awam bagi memastikan ketelusan dalam proses pelesenan, penguatkuasaan serta penetapan penalti terhadap setiap pelanggaran.
“Semua itu akan dinyatakan secara hitam dan putih, benar-benar jelas, supaya tiada ruang untuk tafsiran berbeza,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa orang ramai agar memainkan peranan aktif dengan tidak terlibat dalam sebarang bentuk pemberian rasuah.
“Orang awam tidak boleh terlibat dalam pemberian rasuah, tidak boleh di satu pihak menuduh pegawai, tetapi di pihak lain anda ‘memberi makan’ kepada pegawai. Perkara ini mesti dihentikan,” katanya.-4/2/2026



