Tak perlu pinda perlembagaan…peluang Melayu jadi PM tak pernah terjejas

Bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim desakan supaya dipinda perlembagaan agar hanya orang Melayu sahaja yang boleh menjadi Perdana Menteri hanya merumitkan keadaan yang bukan satu isu.
Katanya, peluang orang Melayu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri tidak pernah terjejas dan terancam selama ini.
Beliau ditemui wartawan selepas tunai solat Jumaat di Bangi untuk ulas kenyataan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya perlembagaan dipinda agar hanya orang Melayu sahaja boleh menjadi Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata, perlembagaan sendiri sudah pun melindungi hak orang Melayu dan Bumiputera.
Katanya, peluang orang Melayu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri tidak pernah terjejas dan terancam selama ini.
“Setakat ini tidak ada keperluan (pinda perlembagaan). Tidak ada permohonan serius dan tidak ada perbincangan sejak merdeka sampai sekarang.
“Calon Perdana Menteri yang Melayu, lepas ini pun calon daripada kerajaan adalah Melayu. Calon pembangkang pun Melayu jadi maju terus. Hak rakyat buat semua warganegara kita pelihara. Jaga kepentingan semua rakyat, semua kaum, semua wilayah,” katanya.
Beliau menegaskan tidak perlu mana-mana pihak mempersoalkan sama ada Perdana Menteri perlu dalam kalangan orang Melayu atau bukan Melayu.
“Sekarang ini ada perlembagaan, ada peraturan, ini bukan isu dan sekarang ini tidak pernah menjadi isu. Jadi, jangan kita rumitkan keadaan seperti juga yang diuar-uarkan pembangkang soal persempadanan semula.
“Perkara tidak berbangkit pun dia nak laga lagakan, nak bagi orang Melayu marah, orang Cina marah, ini tidak berbangkit, dia tak faham perlembagaan sedangkan ia membolehkan kita mengkaji semula hanya pada akhir 2026.
“Dia nak sibuk ini pasal apa. Carilah modal bantu bagaimana nak angkat ekonomi, nak kurangkan beban rakyat, jangan duduk gaduh sahaja. Tak letih ke?” Soalnya.
Isu ini asalnya berbangkit susulan siasatan polis terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri. – 15/12/2023