CATATAN HELME HANAFI (BAHAGIAN KETIGA)…..
Hanya 40 kilometer dari Bandung, tapi Garut bukan destinasi popular membeli belah di kalangan pelancong Malaysia.
Mungkin hidden gem ini disembunyikan dari pengetahuan umum kerana di sinilah sumber produk-produk kulit yang kita beli di kota-kota lain di Indonesia.
Bahkan ketika melewati salah satu lembah dalam perjalanan ke Garut. Saya melihat tiga kilang besar tersergam indah, menurut Agus sang supir, kilang itu milik syarikat kasut dari Korea.

Selain Korea, Jepun dan China juga mempunyai kilang produk kulit di Garut.
Carian saya melalui Google mendapati, produk kulit dari Garut atau lebih tepatnya daerah Sukaregang, sudah sampai ke kota fesyen dunia seperti Paris, Milan, Praha, melalui kerjasama G2G antara pemerintah.
Di Komplek Pertokoan Sukaregang, terdapat lebih 500 kedai yang menjual barangan kulit sejak puluhan tahun lalu.
Anak saya beli topi baretta kulit lembu dengan harga 70 ribu rupiah, atau RM21 duit kita, kasut kulit kasual yang saya beli dengan harga 220 ribu atau RM66 pula setanding dengan kasut Clarks yang lebih RM300.

Beg tangan lelaki yang saya pernah lihat harganya RM700 di Malaysia, saya beli di sini dengan harga 500 ribu atau RM150.
Jaket kulit Harley Davidson dengan design terbaru dengan harga 2.5 juta atau lebih kurang RM750 kita.
Rambang mata, tiga jam tak terasa dalam komplek ini, dan betulkan ikut jiran saya yang biasa ke sini, kita kena pergi dua kali untuk puas hati.
Sebab bila balik, ada lagi barang yang rasa nak beli tapi tak beli.
Ketika isteri saya sibuk tawar menawar, saya tanyakan pada salah seorang pemilik toko, orang tua, sudah berniaga lebih 30 tahun dengan jenama sendiri Imaji.

Mengapa beliau tidak membuka toko di Bandung atau Jakarta, kerana di Sukaregang persaingannya banyak sekali untuk barang kulit.
Jawapannya membuat saya tercenggang dan hilang kata-kata.
“Saya tidak takut tersaingi, produk kami sama, tapi rezeki kami berbeda,”
Sungguh dalam.- 15/12/2023