KEMBARA

TMM 2026 pemangkin pertumbuhan ekonomi

Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) bukan sekadar kempen pelancongan sebaliknya menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan keyakinan pelaburan asing ke negara ini.

Menurut Presiden Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) Dr. Wan Muhammad Adam Wan Norudin, sektor pelancongan mempunyai kaitan langsung dengan prestasi ekonomi dan aliran pelaburan asing.

“Pelancongan sering menjadi pintu masuk kepada pelaburan. Konsepnya mudah, ‘see first, invest later’. Pelancong datang, melihat potensi negara kemudian membuat keputusan pelaburan,” katanya kepada pemberita RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, keyakinan pelabur luar lazimnya dinilai berdasarkan empat faktor utama iaitu kecekapan tadbir urus, kestabilan politik dan kualiti, konsistensi dasar serta keyakinan terhadap iklim pelaburan.

“TMM2026 dijangka menjadi platform strategik bukan sahaja untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama, malah sebagai negara yang diyakini dari sudut ekonomi dan pelaburan jangka panjang.

“Dalam masa sama, keutamaan peruntukan TMM2026 wajar diberikan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor warisan bagi memastikan impaknya benar-benar dirasai oleh pemain industri tempatan.

“PKS dan sektor warisan bukan sektor yang ditinggalkan tetapi sektor yang mahu kita bangunkan semula dengan pendekatan dan sentuhan baharu,” katanya.

Usaha pemuliharaan dan penaiktarafan aset warisan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad membuktikan bagaimana bangunan bersejarah boleh diberi nafas baharu tanpa menghilangkan nilai asalnya, sekali gus menarik minat pelancong.

Beliau turut menyarankan, agar TMM2026 diperluaskan ke kawasan luar bandar yang berpotensi untuk diangkat sebagai destinasi pelancongan baharu dalam kerangka pembangunan TMM2026.-4/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button