
Ini penjelasan PM Anwar berkaitan sempadan antara Malaysia – Indonesia
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia, termasuk tiga kampung di Nunukan, Kalimantan Utara, tidak bersandarkan kepada prinsip pampasan, timbal balik atau untung rugi seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Perdana Menteri berkata, sebaliknya penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia bersandarkan kepada konvensyen dan perjanjian ditetapkan.
Beliau berkata asas penentuan sempadan darat antarabangsa Malaysia dengan Indonesia adalah berdasarkan kepada dua konvensyen dan satu perjanjian iaitu Konvensyen Persempadanan antara Kerajaan British dan Belanda 1891 bagi keseluruhan Sabah dan Sarawak.

“Bagi Sabah, perjanjian persempadanan antara kerajaan British dan kerajaan Belanda dan untuk sebahagian kecil sektor di Sarawak, ia membabitkan Konvensyen Persempadanan antara Kerajaan British dan Belanda yang ditandatangani di Hague pada 26 Mac 1928,” katanya.
Menurut Anwar, hasil pengukuran dan penandaan semula sempadan Malaysia dan Indonesia bagi Masalah Sempadan Tertangguh (OBP) di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai membolehkan Malaysia memperoleh tambahan kawasan seluas 780 hektar.
Beliau berkata tambahan kawasan itu menjadikan Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas kini berada dalam wilayah Malaysia.
“Jadi tiga-tiga itu masuk ke Sabah, dakwaan berkenaan Malaysia menyerah seluas 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan penipuan kalau pun tiada niat jahat sama sekali,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata kerja penandaan dan pengukuran semula OBP Sungai Sinapad dan Sungai Sesai dilaksanakan sehingga Ogos 2022 dan Oktober 2023 dengan jarak muktamad dipersetujui ialah 11,545 kilometer (km).
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjelaskan laporan media yang mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan adalah tidak tepat.-4/2/2026



