TAHUKAH ANDA

Malaysia di landasan pertumbuhan ekonomi amat kukuh

Bank Negara Malaysia (BNM) dijadualkan mengumumkan keputusan rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat minggu depan, dengan prestasi ekonomi negara dilihat kekal kukuh berdasarkan trajektori anggaran awal pertumbuhan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata sekiranya keputusan rasmi itu mengikut hala tuju anggaran awal iaitu pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus bagi suku keempat dan purata 4.9 peratus untuk keseluruhan tahun lalu, keadaan ekonomi negara kekal berada pada landasan yang positif.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian semasa, buku pesanan masih kelihatan kukuh, sekali gus memberi isyarat bahawa aktiviti ekonomi terus disokong oleh permintaan yang berterusan.

“Justeru, terdapat kemungkinan bahawa apabila negara menilai semula unjuran ekonomi pada April nanti, kita akan lebih optimistik dan mungkin akan melihat pelarasan positif terhadap ramalan pertumbuhan,” katanya kepada media di luar Forum Ekonomi Malaysia 2026 (FEM 2026) pada Khamis.

Amir Hamzah bagaimanapun menegaskan, proses berkenaan memerlukan masa supaya angka berkaitan dapat diteliti oleh BNM.

“Beri mereka masa untuk meneliti nombor-nombor ini, untuk memastikan angka-angka itu benar-benar ditetapkan dan disandarkan dengan betul,” katanya.

Beliau menegaskan, tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah untuk melaksanakan sepenuhnya pelan dan dasar yang telah diumumkan, termasuk yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2026.

“Pelaksanaan berkesan dasar itu penting bagi memastikan asas atau tunjang ekonomi negara kekal sangat kukuh,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi bertajuk Dasar Fiskal & Monetari sempena FEM 2026, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata Malaysia ketika ini mempunyai asas ekonomi yang kukuh, dengan keutamaan adalah untuk terus membina asas berkenaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada masa hadapan.

“Kita mempunyai asas ekonomi yang kukuh pada masa ini dan kita perlu terus membinanya supaya kita boleh berkembang dengan lebih baik,” katanya.-6/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button