
Enam murid sekolah disahkan hidap tibi di Kota Tinggi
Tiada sebarang arahan penutupan sekolah dikeluarkan susulan wabak tuberkulosis atau tibi di Kota Tinggi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.
Katanya, berdasarkan pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM), terdapat enam kes babitkan murid termasuk dua perempuan yang disahkan hasil daripada saringan kontak rapat.
“Kerajaan negeri mengambil maklum berhubung penularan penyakit tibi yang membabitkan murid sekolah di daerah Kota Tinggi.
“Semua murid terbabit sudah diarahkan menjalani kuarantin serta menerima rawatan sewajarnya dan kini berada dalam pemantauan rapi KKM mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan, Khamis.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari lalu hingga semalam.
Katanya, satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun mengesahkan bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus pula dilaporkan berkata, rutin harian di lokaliti yang terbabit dengan kluster tibi yang dilaporkan di daerah ini, berjalan seperti biasa dengan orang ramai dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan diri serta memakai penutup hidung dan mulut.
Beliau dilaporkan berkata, kluster terbabit membabitkan lokaliti FELDA Sungai Mas, Bandar Mas dan FELDA Papan Timur, yang semuanya berada dalam keadaan terkawal sehingga hari ini.
Aznan berkata Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi turut turun ke sekolah-sekolah terbabit bagi mengadakan sesi perjumpaan dan penerangan bersama pengurusan sekolah.
Katanya, sesi itu bertujuan memberi penjelasan mengenai penyakit tibi selain langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pihak sekolah, murid dan ibu bapa.
“Pada masa sama, semua sekolah perlu sentiasa mematuhi garis panduan dan arahan dikeluarkan KKM, termasuk aspek kebersihan, pemantauan kesihatan murid serta tindakan susulan yang disarankan,” katanya.
Aznan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berita palsu berkaitan isu it u kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.
Katanya, kerajaan Johor kekal komited memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah terus terpelihara dengan kerjasama berterusan KKM dan semua pihak berkaitan.-6/2/2026



