
Larangan kenderaan berat guna jalan raya ketika cuti Tahun Baharu Cina
Semua kenderaan barangan dilarang berada di atas jalan raya pada 14 & 15 Februari serta 21 & 22 Februari 2026 ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Kementerian Pengangkutan berkata, langkah itu bagi memastikan kelancaran trafik serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Larangan melibatkan beberapa kategori lori berat, treler, lori kontena serta kenderaan pengangkut bahan binaan dan hasil industri mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Seiring aspirasi Malaysia Madani, keselamatan jalan raya adalah keutamaan bersama demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan meminta orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi peraturan lalu lintas.-6/2/2026



