
Ini kata Fahmi ulas mengenai hu ha pilihan raya pilih Datuk Bandar
Tiada keperluan untuk membahaskan syor pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelantikan datuk bandar di Parlimen ketika ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ini memandangkan kerajaan masih belum menerima kajian yang sedang dilaksanakan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Memang tidak ada apa-apa untuk dibentangkan pada waktu ini kerana apa yang Yang Berhormat Hannah Yeoh sebut adalah satu kajian yang disediakan oleh pihak UIAM dan kajian itu pun belum dibawa ke Kabinet.
“Kabinet (pun) belum membincangkan, jadi belum ada apa-apa, ia pramatang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI,pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menggesa kerajaan supaya membentangkan dan membahaskan syor pilihan raya terbabit di Parlimen.
Fahmi menambah, kerajaan bagaimanapun terbuka menerima sebarang cadangan dan tidak menghalang pembangkang daripada membangkitkan perkara itu melalui saluran rasmi Parlimen.
“Kita terima baik apa-apa cadangan sekiranya beliau berhasrat untuk bangkitkan, saya percaya boleh bangkitkan dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) minggu depan.
“Cuma waktu ini Kabinet tidak ada sebarang perbincangan mengenai cadangan terbabit, belum dibentangkan hasil kajian UIA, jadi tidak ada apa-apa untuk kita bentangkan pada waktu ini,” katanya.-6/2/2026



