TAHUKAH ANDA

Ibu bapa dibenar kendali akaun media sosial anak bawah 16 tahun

Ibu bapa dibenarkan mengendalikan akaun media sosial untuk anak berusia di bawah 16 tahun, tetapi ia masih memerlukan pemantauan penuh.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kebenaran itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengadakan sekatan pembukaan akaun baharu kepada kanak-kanak di bawah umur, sambil menegaskan tanggungjawab mengawasi akaun berkenaan terletak sepenuhnya kepada ibu bapa.

“Saya tahu ada ibu bapa yang anak-anak mereka menjadi influencer (pempengaruh) atau ‘content creator’ (pencipta kandungan). Tetapi bukan anak-anak sendiri yang ‘upload’ (muat naik), sebaliknya dikawal dan diuruskan oleh ibu bapa.

“Jadi, itu tidak menjadi satu masalah sebab yang kita nak elak adalah sekiranya anak-anak kawal dan kendali akaun itu sendiri. Kita tak tahu mereka bercakap dengan siapa atau siapa ‘direct message’ mereka. Apa akan jadi kepada maklumat data mereka sekiranya ada pihak yang tak diingini berkomunikasi dengan mereka? Jadi kalau ibu bapa yang mengendalikan itu lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Taman Tasik Titiwangsa pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Pada masa sama, Fahmi mengingatkan ibu bapa supaya menjaga data peribadi termasuk alamat dengan tidak mendedahkannya kepada umum kerana berisiko disalah guna pihak tidak bertanggungjawab atau penjenayah siber.

Katanya, kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini boleh disalah guna termasuk oleh pedofilia dengan menyunting gambar dan video kanak-kanak untuk dijadikan bahan tidak baik.-9/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button